Fadhlina

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) menasihatkan semua pentadbir sekolah agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan serta menggalakkan pemakaian pelitup muka sebagai langkah membendung penularan jangkitan influenza di sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan langkah-langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan persekitaran sekolah, pemantauan kesihatan serta pemakaian pelitup muka perlu diberi perhatian.

Jelas beliau, sebarang keputusan drastik seperti penutupan sekolah atau lain hanya akan dibuat sekiranya langkah sedia ada tidak lagi berkesan.

“Warga sekolah kita ini besar. Jadi bukan sahaja keselamatan dan kesihatan anak-anak tetapi juga warga guru kita.

“Berdasarkan SOP, kita akan ikut semua langkah-langkah ini dahulu sebelum kita isytihar sama ada tutup (sekolah) atau sebagainya (PdPR) kerana langkah-langkah (SOP) itu mesti dipatuhi untuk memastikan dapat kita mengawal penularan.

“Bagaimanapun, ketika ini keadaan masih terkawal dan pihak pengurusan sekolah sentiasa menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya ketika diminta mengulas berhubung penularan influenza di sekolah yang mencetuskan kebimbangan ibu bapa.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal hadir majlis perasmian bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram dan Projek Penempatan Semula Ladang Byram, Mukim 11, Seberang Perai Selatan yang disempurnakan Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan berbincang dengan KPM bagi mempertimbangkan tindakan lanjut termasuk keperluan menutup sekolah sekiranya terdapat peningkatan penularan kluster influenza.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, pertimbangan itu berdasarkan kes wabak berkenaan majoritinya dikesan berlaku di sekolah dan tadika.

Beliau berkata, sebarang keputusan mengenai penutupan sekolah adalah tertakluk kepada bidang kuasa dan budi bicara KPM.

Selain itu KKM turut memaklumkan semua negeri melaporkan peningkatan kes dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan.

Lima negeri tertinggi iaitu Selangor sebanyak 43 kluster, Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9) dan Kedah (5). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast