JOHOR BAHRU – Program Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) serta skim geran keusahawan perlu mengikut objektif utamanya dan bukan dijadikan alat propaganda politik.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, pelaksanaan program tersebut harus benar-benar memberi manfaat khususnya golongan belia dan berpendapatan rendah.
Beliau mendakwa, walaupun pelbagai inisiatif diumumkan di bawah program berkenaan, pelaksanaannya masih jauh daripada matlamat asal untuk membantu rakyat meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan.
“Ramai peserta TVET dan pemohon geran mengadu prosesnya terlalu rumit, tidak telus dan sering berpihak kepada pihak tertentu sahaja.
“Rakyat mahu melihat hasil yang nyata, graduan TVET mendapat pekerjaan stabil dan penerima geran benar-benar dibimbing untuk membina perniagaan yang mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suraya turut menyeru kerajaan memperkukuh kerjasama dengan industri bagi memastikan latihan TVET menepati keperluan pasaran sebenar serta menambah baik penilaian pemberian geran secara telus, adil dan berdasarkan keupayaan, bukannya hubungan politik atau pengaruh pihak tertentu.
“Setiap sen yang diperuntukkan untuk program TVET dan geran keusahawanan perlu digunakan dengan penuh integriti serta memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan perlu membuktikan bahawa dasar-dasar berkenaan bukan sekadar angka dalam laporan atau modal ucapan di pentas.
Sebaliknya tegas beliau, benar-benar membawa manfaat kepada golongan muda dan rakyat yang berusaha memperbaiki kehidupan.- MalaysiaGazette
















