KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan kekal tenang dan mengambil langkah pencegahan sewajarnya berikutan peningkatan kes Influenza A dan B seperti yang dilaporkan berlaku ketika ini.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. R. Thirunavukarasu berkata, peningkatan kes itu bukan sesuatu yang luar biasa memandangkan ia berlaku dalam musim penularan semasa.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai mengamalkan langkah pencegahan asas seperti menjaga kebersihan diri, kerap mencuci tangan, menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin serta memakai pelitup muka jika berasa tidak sihat atau berada di kawasan sesak.
“Individu yang mengalami gejala seperti demam tinggi berpanjangan, batuk teruk, sesak nafas, sakit dada atau simptom yang tidak menunjukkan tanda pemulihan selepas beberapa hari perlu segera mendapatkan rawatan perubatan.
“Pemeriksaan awal membolehkan rawatan diberikan dengan cepat, sekali gus mengurangkan risiko komplikasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Dr. Thirunavukarasu turut mengingatkan golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit kronik supaya lebih berhati-hati dan mempertimbangkan pengambilan vaksin influenza sekiranya tersedia.
Jelas beliau, orang ramai dapat mengawal penularan jangkitan dan melindungi kesihatan komuniti secara keseluruhan dengan tahap kewaspadaan dan tindakan bertanggungjawab.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 97 kluster jangkitan influenza A dan B dilaporkan pada ME 40/2025, berbanding 14 kluster minggu sebelumnya dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan.
Menurut KKM, semua negeri melaporkan peningkatan termasuk lima negeri tertinggi iaitu Selangor sebanyak 43 kluster, Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9) dan Kedah (5). – MalaysiaGazette
















