KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menyambut baik langkah kerajaan menaikkan had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan mengerjakan ibadah haji daripada RM3,000 kepada RM10,000 bermula tahun depan.
Bagaimanapun, Presidennya, Azmi Mohd Tahir berkata, ketiadaan pengumuman berkaitan pengeluaran bersasar dianggap mengecewakan.
Jelasnya, ini kerana jutaan pencarum sedang berdepan kos sara hidup yang tinggi, tekanan hutang dan keperluan asas yang semakin menghimpit.
“Rakyat tidak menuntut pengeluaran penuh. Mereka hanya memohon pengeluaran bersasar dan terkawal — contohnya antara RM10,000 hingga RM50,000 mengikut jumlah simpanan Akaun 1. Langkah ini mampu memberi kelegaan kepada mereka yang sedang berjuang menampung kehidupan harian,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, wang KWSP adalah hak pencarum hasil titik peluh mereka sendiri, justeru kerajaan wajar memberikan ruang kepada mereka menggunakan sebahagian kecil simpanan tersebut ketika menghadapi tekanan ekonomi.
Tambah beliau, bahawa langkah pengeluaran bersasar yang pernah dilaksanakan melalui i-Citra dan i-Sinar terbukti tidak menjejaskan kedudukan kewangan KWSP, malah membantu merancakkan semula ekonomi rakyat secara menyeluruh.
Sehubungan itu, PGIRM menyeru kerajaan agar menilai semula cadangan pengeluaran bersasar KWSP dalam semangat Madani yang menekankan keadilan sosial, kesejahteraan rakyat dan ihsan terhadap mereka yang terdesak.
“Rakyat tidak meminta simpati. Mereka hanya menuntut hak untuk menggunakan wang mereka sendiri pada waktu paling memerlukan,”katanya lagi. – MalaysiaGazette
















