JOHOR BAHRU – Johor mencipta rekod di negara ini apabila melaksanakan pelepasan benih 1.6 juta ekor udang galah, semalam.
Jabatan Perikanan Negeri Johor melepaskannya serentak di seluruh negeri sekali gus diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘Pelepasan Benih Udang Galah Terbanyak di Malaysia’.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, pelepasan benih udang galah itu dilaksanakan serentak di Segamat, Kluang, Muar, Tangkak, Batu Pahat, Mersing dan Kota Tinggi.
“Kita lepaskan benih udang galah ini di lima lembangan sungai utama yang menempatkan komuniti nelayan darat iaitu Sungai Muar, Sungai Ulu Benut, Sungai Sembrong, Sungai Telor dan Sungai Lenggor.
“Program ini bukan sekadar simbolik pelepasan benih semata-mata. Ia adalah manifestasi komitmen kerjasama strategik bersama antara kerajaan negeri, jabatan dan komuniti nelayan darat untuk memulihara serta memelihara sumber perikanan air tawar di Johor,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut beliau, usaha dilakukan itu diperkasakan menerusi peruntukan keseluruhan tahun ini yang berjumlah RM650,000 merangkumi RM600,000 daripada kerajaan Johor dan RM50,000 oleh Kerajaan Persekutuan.
Katanya, peruntukan itu adalah untuk melaksanakan pelepasan tiga juta benih udang galah dan 202,000 benih ikan di lapan lokasi terpilih seluruh negeri ini.
“Sektor perikanan darat Johor terus mencatat pertumbuhan positif apabila meningkat sebanyak 1,400.33 tan metrik hasil air tawar yang bernilai RM18.77 juta direkodkan pada tahun 2024 berbanding 1,184 tan metrik bernilai RM16.78 juta untuk tahun sebelumnya.
“Oleh itu, inisiatif pelepasan benih secara besar-besaran ini adalah langkah tepat bagi memastikan stok sumber semula jadi terus berkekalan, sekali gus memberi manfaat ekonomi dan usaha untuk peningkatan pendapatan kepada nelayan darat (sungai) serta masyarakat luar bandar,” jelasnya.
Terdahulu, Zahari melancarkan acara pelepasan itu di Sungai Muar, Jambatan Putus, Segamat bersama Jabatan Perikanan Negeri Johor, wakil MBOR, serta komuniti nelayan darat setempat, semalam.
Selain pengiktirafan MBOR, turut diserahkan lesen nelayan darat dan peralatan keselamatan kepada 34 nelayan baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, Segamat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Buloh Kasap) itu berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan terus menyokong pembangunan sektor perikanan dalam memperluaskan inisiatif kepada komuniti nelayan darat seperti pemberian bantuan tunai melalui Program Bantuan Kasih Johor.
Selain itu, katanya, inisiatif lain adalah pemberian bantuan peralatan keselamatan, jaring, enjin sampan, pembinaan jeti-jeti pendaratan dan lain-lain bagi kemudahan nelayan darat untuk melaksanakan aktiviti penangkapan sumber dengan selamat, serta meningkatkan taraf sosio-ekonomi komuniti terbabit. – MalaysiaGazette
















