Tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan ugut sebar gambar bogel seorang lelaki di Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang suri rumah didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemerasan dengan mengugut untuk menyebarkan gambar bogel seorang lelaki, pada Jun lalu.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nur Husna Noor Baharuddin, 33, dan memerintahkan dia dipenjara selama 10 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Nur Husna didakwa melakukan pemerasan terhadap Muhamad Yasir Mohamed Farouk, 28, dengan mendatangkan ketakutan menerusi telefon sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM3,750.

Kesalahan itu dilakukan pada 14 Jun lalu, jam 3.30 pagi di sebuah rumah di Lintang Kampung Rawa 1, di sini.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu telah berkenalan dengan tertuduh menerusi aplikasi Facebook pada 12 Jun lalu, jam 1.47 pagi sebelum tertuduh menawarkan untuk menghantar gambar dan video bogelnya.

Mangsa bersetuju dan menerima kandungan lucah itu menerusi aplikasi WhatsApp dan dua hari kemudian, tertuduh mula mengugut akan menyebarkan gambar mangsa di media sosial sekiranya tidak diberikan wang sebanyak RM3,750.

Mangsa yang ketakutan kemudian membuat 10 transaksi pindahan wang ke akaun tertuduh, namun wanita itu terus meminta wang tambahan menyebabkan mangsa yang kehabisan wang tampil membuat laporan polis.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal.

Bagaimanapun, tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farah Hamizah Hasan Gani yang dalam rayuannya memohon hukuman denda minimum atas alasan ibu kepada enam orang anak termasuk mempunyai seorang bayi berusia enam bulan serta seorang anak autisme berusia dua tahun.

“Anak guam saya juga menanggung ibu bapa dan merupakan suri rumah sepenuh masa. Ini juga merupakan kesalahan pertamanya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast