JOHOR BAHRU – Iskandar Investment Berhad (IIB) kini dalam usaha memperkukuh kebolehpasaran graduan serta menyediakan laluan kerjaya berpendapatan tinggi melalui kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan.
Presiden IIB berkata, Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, pihaknya melihat potensi bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Jelasnya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif IIB, ini bagi melaksanakan inisiatif Kecerdasan Buatan (AI) dan Rangkaian Pusat Inovasi dan Penyelidikan (RDCI) di bawah Agenda Inovasi Nasional.
“Langkah ini akan memperkukuh kedudukan Johor sebagai peneraju pembangunan digital dan pusat inovasi teknologi di wilayah selatan.
“Selaras dengan komitmen terhadap kelestarian, IIB turut menyokong pelaksanaan Elaun Cukai Pelaburan Hijau yang diumumkan kerajaan (dalam Belanjawan 2026).
“Ini seiring dengan aspirasi IIB untuk menggalakkan pelaburan rendah karbon, penggunaan tenaga cekap serta pembangunan bandar pintar mesra alam di Iskandar Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
IIB juga katanya, menyokong inisiatif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam pembangunan kemudahan penginapan pelajar bersama-sama Universiti Malaya (UM) yang memperkukuh penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Usaha ini katanya, adalah untuk memperluas pasaran sewaan serta menyediakan kemudahan perumahan mampu milik untuk pelajar dan golongan muda.
Menurutnya, IIB turut memuji inisiatif kerajaan dalam belanjawan itu yang memperkenalkan program pembeli rumah pertama berharga bawah RM500,000 dan ini secara langsung menyokong pembangunan Wawari West Park Homes dalam menyediakan penyelesaian kediaman mampu milik di Iskandar Puteri.
Bagi memastikan daya tahan kewangan jangka panjang katanya, IIB bersedia memanfaatkan rangka kerja insentif kerajaan Persekutuan seperti GEAR-Up dan jaminan SJPP sebagai sebahagian daripada strategi kitar semula modal yang dapat memperkukuh keupayaan pelaburan dan kesinambungan pertumbuhan.
“Selaras dengan Tekad Tiga Belanjawan 2026-Menjuarai Ekonomi Bernilai Tinggi, IIB berhasrat memposisikan dirinya sebagai Southern Engine for National Rejuvenation, memainkan peranan penting dalam merancakkan pembangunan ekonomi berasaskan inovasi, memperkukuh jaringan pelaburan rentas sempadan dan menyumbang kepada kemakmuran negara secara menyeluruh.
“Belanjawan 2026 mencerminkan iltizam kerajaan dalam memperkukuh daya saing ekonomi negara melalui pendekatan yang seimbang antara pembangunan fizikal dan pembangunan modal insan. Sebagai pemaju utama di Iskandar Puteri, IIB komited untuk terus menyokong pelaksanaan JS-SEZ, memperkukuh ekosistem bakat melalui inisiatif seperti JTDC dan KYouth, serta memajukan agenda inovasi dan pelaburan hijau di rantau Selatan,” katanya.
Mengenai belanjawan itu, pihaknya yakin dapat memperkukuh pertumbuhan Johor melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan pembangunan bakat belia.
IIB memandang tinggi iltizam kerajaan dalam memperkukuh asas fiskal negara, yang diyakini akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap projek-projek jangka panjang di Johor, terutama dalam sektor pelaburan berimpak tinggi dan pembangunan mampan.
“Sebagai salah satu peneraju utama pembangunan wilayah Iskandar Puteri, IIB komited untuk memainkan peranan penting dalam menjayakan aspirasi Belanjawan 2026 melalui strategi yang memacu pertumbuhan ekonomi serantau, memperkukuh ekosistem bakat, serta memperluas pelaburan hijau dan inovasi digital,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















