KUALA LUMPUR – Kerajaan memperkukuh komitmen membantu golongan muda memiliki rumah pertama dengan meningkatkan peruntukan dana Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) kepada RM30 bilion tahun ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, langkah itu bagi memastikan lebih ramai belia daripada kumpulan B40 dan M40 dapat menikmati kemudahan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi pembelian rumah baharu, sedia ada atau lelongan.
Katanya, sejak SJKP dilaksanakan pada 2008 hingga 30 Jun lalu, sebanyak 90,779 permohonan diluluskan dengan nilai jaminan RM21.5 bilion dan 89.56 peratus daripadanya melibatkan peminjam berusia 40 tahun ke bawah.
“Selain itu, kerajaan turut memperluas skim Sewa Untuk Beli (Rent-to-Own, RTO) bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) di tujuh negeri termasuk Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur dan sehingga kini, sebanyak 6,958 keluarga telah ditawarkan unit rumah di bawah skim RTO PPR di bawah seliaan KPKT di seluruh negara.
“Bagi menarik minat pembeli muda, kerajaan memperkenalkan beberapa insentif tambahan termasuk Step-Up Financing, pengecualian duti setem melalui kempen Home Ownership Campaign 2.0 (HOC 2.0) hingga akhir 2025, serta pelepasan cukai individu sehingga RM7,000 bagi faedah pinjaman perumahan,” katanya dalam sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN–Merbok) berhubung peranan utama kementerian dalam membantu golongan muda memiliki rumah pertama mampu milik di dalam bandar yang berkualiti dengan menyediakan kemudahan pembiayaan yang mencukupi serta meningkatkan peranan sektor swasta memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Tambah beliau, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan turut menyasarkan 500,000 unit rumah mampu milik (RMM) dibina menjelang hujung tahun ini dengan kadar pencapaian semasa hampir 98.8 peratus.
“Bagi mengawal harga rumah, kerajaan mengekalkan siling harga RMM pada RM300,000, melaksanakan pemetaan harga berdasarkan pendapatan negeri, dan memperkenalkan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) bagi membendung aktiviti spekulasi tidak wajar.
“Sementara itu, KPKT turut menggalakkan pembelian lot perumahan Bumiputera melalui inisiatif i-Biaya di bawah SJKP, yang turut meliputi pembeli tanpa pendapatan tetap seperti pekerja ekonomi gig,” katanya. – MalaysiaGazette
















