MELAKA – Pembangkang Melaka menggesa Kerajaan Negeri Melaka menilai semula keberkesanan dasar dan kepimpinan portfolio pendidikan susulan kejadian rogol melibatkan empat pelajar sekolah di negeri ini yang mengejutkan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr. Aleef Mohd Yusof berkata, insiden tersebut mencerminkan wujudnya kelemahan dalam sistem pencegahan jenayah di sekolah dan perlu ditangani secara menyeluruh oleh semua pihak.
“Khususnya Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, beliau kena bertanggugjawab atas kegagalannya mencegah jenayah seksual daripada berlaku dalam kelas.
“Kes ini bukan sekadar isu disiplin tetapi menandakan kegagalan sistemik dalam membentuk suasana sekolah yang selamat serta mendidik pelajar agar bebas daripada pengaruh jenayah dan penyimpangan moral,” katanya di sini hari ini.
Dr. Aleef berkata, kerajaan negeri dan jabatan berkaitan perlu mengambil pendekatan lebih berfokus kepada aspek pendidikan nilai, keselamatan pelajar dan intervensi awal terhadap gejala sosial dalam kalangan remaja.
“Kita perlukan refleksi menyeluruh bukan hanya menghukum pelaku, tetapi menilai semula keberkesanan dasar sedia ada serta keupayaan kepimpinan untuk melindungi pelajar.
“Jika wujud kelemahan, penilaian semula wajar dilakukan demi maruah pendidikan negeri,” tegasnya.
Beliau turut mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas antara jabatan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta pertubuhan masyarakat sivil.
Usaha itu bertujuan merangka strategi pencegahan dan pemulihan pelajar berisiko.
“Insiden yang berlaku ini perlu dijadikan pengajaran untuk memperkukuh nilai sahsiah pelajar dan memastikan sekolah kembali menjadi tempat yang selamat, membina dan berakhlak tinggi,” katanya.
Sabtu lalu, laporan esklusif MalaysiaGazette mendedahkan pelajar perempuan Tingkatan 3 sebuah sekolah di Alor Gajah, trauma seumur hidup selepas dipercayai dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan aksi itu dirakam serta dilihat dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit.
Kejadian menimpa mangsa berusia 15 tahun terbongkar petang pada 10 Oktober lalu selepas ibunya mendapat maklumat mengenai penyebaran video aib anak sulungnya itu daripada guru sekolah sebelum membawa mangsa membuat laporan polis.
Susulan itu, empat pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) direman enam hari sehingga 16 Oktober ini, bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol secara berkumpulan. – MalaysiaGazette

















isu sebenar ialah sumber kewangan..pasang CCTV DLM setiap kelas, koridor setiap Blok, alat pengesan Telefon bimbit dipintu masuk sekolah Dan dipintu kelas…
isu sebenar..peruntukan Kewangan jgnlah ciput..letakkan alat pengesan hp/ senjata berbahaya, CCTV dipasang dalam kelas, setiap blok bangunkan….boleh ke buat