KUALA LUMPUR – Malaysia perlu menutup pintu sempadannya kepada penjenayah perang dan pelaku genosid yang terlibat dengan pasukan tentera rejim zionis Israel (IDF) dengan mewajibkan semua warga asing mengisytihar status kewarganegaraan tersembunyi dan juga penglibatan mereka dalam IDF, seperti yang dilakukan oleh beberapa buah negara lain
Tindakan tegas ini menunjukkan komitmen terhadap keadilan, kedamaian dan perlindungan ke atas rakyat dengan tanggungjawab moral serta diiktiraf di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Biro Hubungan Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas IDF terhadap para aktivis Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla dan Freedom Flotilla berkata, kaedah ini menunjukkan ketegasan dalam mempamerkan iltizam kepimpinan terkini yang beretika dalam nilai-nilai ihsan, integriti dan kemanusiaannya sebagai polisi yang konkrit.
“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution diminta melaksanakan tindakan ini dengan segera untuk menunjukkan tindak balas Malaysia terhadap keganasan rejim zionis ke atas rakyat Malaysia secara tidak sah di perairan antarabangsa untuk misi kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, keganasan seperti membunuh orang awam, pekerja kemanusiaan dan aktivis kedamaian merupakan satu keganasan lazim yang telah diamalkan oleh IDF dan mereka harus dilabel sebagai suatu pertubuhan pengganas.
“IDF mestilah dilabel secara rasmi oleh masyarakat antarabangsa sebagai sebuah pertubuhan pengganas” ujarnya.
Tambahnya, Malaysia perlu berlandaskan nilai prinsip moralnya dan tidak patut berkompromi dengan pelaku jenayah genosid.
“Tindakan Malaysia ini akan menghantarkan isyarat kepada dunia bahawa negara ini tidak akan sesekali melindungi pelaku jenayah perang dan akan terus berdiri di dalam perjuangan untuk menentang penindasan serta mengangkat prinsip kemanusian di Palestin di pelusuk dunia. – MalaysiaGazette
















