Mohd Khalid Ismail

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan kejadian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut selepas ditikam dalam satu kejadian tragis di sebuah Sekolah Menengah di Damansara Utama, sekitar pukul 9.30 pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, suspek merupakan pelajar lelaki berusia 14 tahun dan telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Ya, kejadian berlaku di dalam kawasan sekolah. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program kempen Anti Buli di Pusat Dagangan Dunia di ibu negara, hari ini.

Menurut Mohd Khalid, motif kejadian masih dalam siasatan dan identiti kedua-dua pelajar tidak akan didedahkan memandangkan mereka di bawah umur.

“Kes ini amat menyedihkan. Kita masih menyiasat punca sebenar dan tindakan lanjut akan diambil. Ketua Polis Selangor akan mengeluarkan kenyataan lanjut dalam masa terdekat,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan, seorang pelajar perempuan tingkatan 4 di sebuah sekolah di Bandar Utama, di Petaling Jaya meninggal dunia selepas ditikam oleh seorang murid lelaki tingkatan 2.

Tragedi itu dikatakan berlaku awal pagi tadi.

Menurut maklumat awal, mangsa dikatakan diserang dengan senjata tajam secara tiba-tiba oleh pelajar lelaki terbabit. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast