Menteri Digital, Gobind Singh Deo Foto MOHD ADZLAN, 04 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Menteri Digital, Gobind Singh Deo meluahkan rasa terkejut dan sedih susulan insiden tikaman maut yang melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, dekat sini, pagi tadi.

Menurut beliau, kejadian tragis itu bukan sahaja meruntun hati ramai, malah turut mengejutkan seluruh negara.

“Sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk pembelajaran, perkembangan diri, dan persahabatan,” katanya yang merupakan Ahli parlimen Damansara dalam kenyataan hari ini.

Gobind turut meminta agar ruang diberikan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden tersebut.

Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa pejabatnya di Damansara bersedia untuk membantu ahli keluarga mangsa.

“Pasukan saya telah diarahkan untuk menghubungi dan memberi sokongan kepada mereka dalam saat sukar ini,” ujarnya.

Bagi pihak Kementerian Digital dan pasukan di Damansara, beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga remaja perempuan yang terkorban dalam kejadian menyayat hati itu.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar perempuan ditemukan maut dipercayai akibat ditikam oleh rakan sekolahnya dalam satu kejadian yang berlaku di kawasan sekolah kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca dan motif kejadian. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast