Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan bagi Bulan Oktober di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 15 OKTOBER 2025

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu beliau tetap membayar harga penuh RM2.60 seliter bagi petrol RON95 walaupun layak menikmati harga subsidi RM1.99 seliter di bawah program BUDI95 yang disediakan kerajaan untuk rakyat tempatan.

Menurut Perdana Menteri, langkah itu mencerminkan pendekatan kerajaan dalam memastikan subsidi diagihkan secara adil dan bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan, bukan diberikan secara menyeluruh termasuk kepada mereka yang mampu.

“Saya bayar RM2.60 (seliter) RON95, walaupun saya dapat harga subsidi RM1.99,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan Bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bagi Bulan Oktober 2025 di Kementerian Kewangan, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Anwar dalam pada itu menjelaskan, langkah mengekalkan harga subsidi RM1.99 bagi rakyat tempatan dan RM2.60 untuk warga asing menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keadilan sosial serta keberkesanan pengurusan fiskal negara.

Katanya, kerajaan sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan rasionalisasi subsidi agar tidak menimbulkan kekeliruan atau kemarahan rakyat, sepertimana semasa pelaksanaan penstrukturan semula subsidi elektrik dan ayam sebelum ini.

Perdana Menteri turut berkongsi bahawa keputusan menarik balik subsidi ayam telah menjimatkan kerajaan sebanyak RM1 bilion setahun, tanpa menjejaskan kestabilan harga di pasaran.

“Kita nak dapat hasil banyak tapi rakyat terbeban, buat apa? Ini bukan ekonomi teori atas langit, ini ekonomi yang menyentuh kedudukan rakyat,” tegasnya lagi.

Anwar berkata, dasar subsidi bersasar ini bukan sahaja memastikan rakyat berpendapatan rendah terus terbela, tetapi juga menjadikan sistem kewangan negara lebih mampan dan berintegriti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast