Mustapha Sakmud

KUALA LUMPUR – Universiti awam ketika ini menawarkan tempat kepada pelajar bagi sesi akademik 2025/2026 yang baru bermula melebihi unjuran kapasiti sebenar, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.

Menurut beliau, bagi calon lepasan Sijil Pelajar Malaysia (SPM) misalnya, seramai 92,2205 calon ditawarkan ke universiti awam berbanding hanya 51,677 tempat yang disediakan, iaitu bersamaan pencapaian 178.4 peratus.

Bagi calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula, katanya, seramai 88,102 calon ditawarkan ke universiti awam berbanding 76,165 tempat yang disediakan, iaitu bersamaan pencapaian 115.67 peratus.

“Bagi saluran terbuka, proses itu masih sedang diuruskan oleh universiti awam dan datanya belum tersedia buat masa ini kerana kita selesaikan dulu pengambilan bagi saluran perdana.

“Bagaimanapun, kita memberi komitmen tidak akan mengorbankan saluran perdana dalam pengambilan pelajar ke universiti yang mana saluran itu diberi keutamaan terlebih dahulu, barulah ditawarkan menerusi saluran terbuka,” katanya dalam sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mustapha (PH-Sepanggar) menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) berhubung statistik terkini pelajar yang mendapat tawaran kemasukan ke univerisi awam sama ada menerusi saluran UPU atau saluran terbuka.

Sementara itu, Mustapha berkata, menyedari keresahan pelajar dan ibu bapa berhubung tempat yang terhad di universiti awam juga, kerajaan menerusi Belanjawan 2026 turut menambah sebanyak 1,500 lagi tempat bagi Ijazah Sarjana Muda di lima universiti penyelidikan negara bermula tahun depan.

Katanya, penambahan itu termasuk pengambilan bagi jurusan kompetitif seperti perundangan dan perakaunan.

“Kita harap dengan penambahan ini dapat mengurangkan keluh-kesah para pelajar dan ibu bapa serta dalam masa sama memberi ruang kepada lepasan SPM dan STPM terutama mereka yang mendapat keputusan cemerlang untuk melanjutkan pengajian di universiti awam,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Dr. Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berhubung kriteria pengambilan pelajar antarabangsa, Mustapha berkata, KPT tidak berkompromi dari aspek latar belakang pelajar berkenaan dalam menawarkan tempat sama ada sebagai pelajar pra atau pasca siswazah.

“Dalam hal ini, isu pengesahan pelajar antarabangsa itu dilakukan dengan amat teliti dan MQA (Agensi Kelayakan Malaysia) sebagai agensi yang diberi tanggungjawab tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengeluarkan sijil palsu (sebagai pengesahan),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.