GEORGE TOWN – Srikandi PKR menyeru Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk memperkukuh dasar-dasar pembangunan keluarga dalam usaha menangani isu sosial yang semakin membimbangkan.
Ketuanya, Nurhidayah Che Rose berkata, fenomena seperti krisis adab, masalah disiplin pelajar dan kekeliruan hala tuju generasi muda bukan sekadar isu sekolah atau isu pelajar tetapi mencerminkan nilai masyarakat yang semakin longgar serta keluarga yang memerlukan bimbingan.
Jelas beliau, KPWKM perlu memimpin sinergi nasional dalam membina keluarga beradab, berempati dan berdaya tahan.
“Ini kerana isu sosial bukan sekadar masalah sistem pendidikan, ia berakar dari kegagalan masyarakat membina nilai asas. Jangan kita salahkan sistem bila nilai kita sendiri longgar dan bukan hanya rombak sistem semua selesai sebaliknya kita perlu pembaikan sesebuah masyarakat.
“Kita tidak mahu menuding jari tapi kita ingin bergabung untuk masyarakat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Nurhidayah, akar sebenar pendidikan bukan hanya terletak pada silibus di sekolah sebaliknya bermula dari rumah iaitu sekolah pertama seorang anak.
“Pendidikan bermula dari meja makan bukan dari bilik darjah semata-mata. Rumah adalah tempat asas hormat, kasih dan tanggungjawab terbina.
“Justeru kita menyeru agar ibu bapa dan komuniti berganding bahu dalam membentuk ekosistem nilai dan pendidikan sosial yang lebih kukuh. Ilmu tanpa adab melahirkan kekosongan jiwa,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















