KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan menyifatkan Belanjawan 2026 hanya sarat dengan angka-angka indah tanpa penyelesaian sebenar terhadap cabaran ekonomi semasa khususnya kos sara hidup.
Beliau dalam kenyataan di Facebook berkata, belanjawan yang sepatutnya menjadi lembaran pertama kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kini dilihat seolah-olah sebuah katalog bukan pelan menyeluruh untuk memperkukuh ekonomi negara.
“Seharusnya, Belanjawan 2026 menjadi peluang keemasan untuk kerajaan mengatur semula atau reset kerangka ekonomi negara bukan sekadar memperkenalkan langkah bertahan tetapi menyediakan landasan kukuh bagi melonjakkan keberhasilan dan daya saing ekonomi.
“Seperti tahun-tahun sebelumnya, Perikatan Nasional (PN) tampil bukan sekadar mengkritik sebaliknya menawarkan dasar ekonomi yang lebih mampan berteraskan prinsip keadilan, kejujuran dan kebertanggungjawaban.
“PN berpendirian bahawa sebelum membina sesuatu yang lebih baik, kerajaan mesti berani membetulkan apa yang pincang. Sebelum mampu menambah hasil, api keyakinan rakyat perlu dinyalakan semula dan sebelum negara dapat mengecapi kemajuan, kesempitan hidup rakyat mesti terlebih dahulu dilegakan,” katanya.
Tegas beliau, belanjawan yang dibentangkan perlu berpaksikan kepada kejujuran dan keberanian membetulkan kesilapan bukan menutup permasalahan asas dengan retorik dan angka persembahan semata-mata.
“Inilah naratif ekonomi yang dibawa Perikatan Nasional dalam perbahasan Belanjawan 2026 iaitu bertemakan “Membetulkan Struktur, Menyemarakkan Ekonomi dan Melegakan Rakyat.”,” katanya. – MalaysiaGazette
















