YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa (MOA) ke-35, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) di Putrajaya. 15 Oktober 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) terus menunjukkan momentum luar biasa dalam menarik pelaburan strategik antarabangsa, kata Perdana Menteri.

Bagi separuh pertama tahun 2025 sahaja, jumlah pelaburan diluluskan di JS-SEZ telah mencecah RM37 bilion, bersamaan 66 peratus daripada keseluruhan pelaburan di Negeri Johor yang bernilai RM56 billion, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya hari ini.

“Perkembangan positif ini dimaklumkan semasa saya mempengerusikan Mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa (MOA) ke-35, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) hari ini,” katanya.

Menurut Anwar, mesyuarat turut meneliti kemajuan pelaksanaan JS-SEZ termasuk sektor berpotensi, kesan pelaburan semasa serta langkah memperkukuh fasilitasi pelaburan, khususnya melalui Zon Kewangan Khas Forest City.

Setakat ini, Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) telah berjaya menarik minat 104 pelabur berpotensi dengan anggaran pelaburan berjumlah RM29.51 bilion.

“Saya turut menegaskan pentingnya pembangunan di Iskandar Malaysia diselarikan dengan penyediaan kemudahan asas yang mencukupi agar kemajuan wilayah ini bersifat inklusif bagi memastikan tiada kelompok masyarakat yang terpinggir daripada arus kemakmuran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast