KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu tidak mengumumkan calon Perdana Menteri kerana risiko keselamatan sebagai lawak politik paling hambar.
Sedangkan, kata beliau, Pas sebelum ini mendabik dada kononnya mereka mempunyai `berlori-lori’ pemimpin yang boleh diangkat sebagai Perdana Menteri.
Selain itu Pas juga mempunyai empat Menteri Besar di negeri dikuasai mereka iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang dianggap kononnya contoh `kepimpinan Islam’ yang unggul.
“Kalau betul yakin dengan kepimpinan sendiri, pilihlah salah seorang jadi calon Perdana Menteri. Atau adakah semua empat-empat tidak cukup meyakinkan hingga perlu bersembunyi di sebalik alasan ‘keselamatan’?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Abdul Hadi berkata, keputusan Pas untuk tidak menamakan calon Perdana Menteri daripada parti itu antaranya disebabkan bagi mengelak risiko keselamatan dan bahaya yang mungkin boleh berlaku.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat menambah sekiranya Pas menamakan calon Perdana Menteri sekarang, individu itu berkemungkinan akan disogok atau dikhianati seperti diletakkan jongkong emas atau dadah di dalam kenderaan.
Sementara itu, Mahfuz mendakwa, Pas pada hakikatnya tidak berani menamakan calon Perdana Menteri mereka kerana sedang berbalah dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Katanya, Bersatu sudah menamakan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ketika Pas masih mahu menonjolkan diri sebagai `abang besar’ dalam Perikatan Nasional (PN).
“Daripada mengaku mereka tak sepakat, lebih mudah cipta alasan konon ada ‘risiko calon dijebak dengan jongkong emas atau dadah’.
“Lucunya, mereka yang berkhutbah tentang kejujuran pun kini pandai berdrama seperti filem aksi,” katanya.
Tambah Mahfuz, `risiko keselamatan’ yang digunakan Abdul Hadi juga disifatkan hanya percubaan menutup perpecahan dan ketidaksepakatan yang semakin jelas dalam PN.
Katanya, Pas sebenarnya bukan takut calon Perdana Menteri mereka diserang sebaliknya bimbang rahsia pertelingkahan dengan Bersatu terbongkar.
“Dulu Pas pernah menamakan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Perdana Menteri tak pula masa itu ada ancaman keselamatan.
“Jadi jelas, bukan calon mereka yang tak selamat, tetapi politik mereka sendiri yang sedang tenat.
“Pas kini umpama pemandu lori yang hilang arah ,katanya ada ‘berlori-lori calon’ tapi rupa-rupanya semua lori rosak tepi jalan,” katanya. – MalaysiaGazette
















