KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam bahawa parti itu tidak mengumumkan calon Perdana Menteri lebih awal menutup rapat impian Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri.
Menurut beliau, ia turut mengesahkan Pas sememangnya mempunyai calon Perdana Menteri sendiri dan Muhyiddin bukan pilihan walaupun sudah diputuskan oleh Persidangan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini.
“Pas akan menamakan calon berintegriti. Seolah olah Muhyiddin tidak berintegriti. Apakah Muhyiddin mudah dilalaikan dengan jongkong emas?
“Bermakna Impian Muhyiddin tertutup rapat. Bukan saja kerana isu integriti tetapi juga umur sudah melebihi 70 tahun. Itu signal jelas Haji Hadi,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, Abdul Hadi berkata, keputusan Pas untuk tidak menamakan calon Perdana Menteri daripada parti itu antaranya disebabkan bagi mengelak risiko keselamatan dan bahaya yang mungkin boleh berlaku.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat menambah, sekiranya Pas menamakan calon Perdana Menteri sekarang, individu itu berkemungkinan akan disogok atau dikhianati seperti diletakkan jongkong emas atau dadah di dalam kenderaan.
Sebelum ini, isu calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) mencetuskan kontroversi selepas PAT Bersatu 2025 meluluskan usul menamakan Muhyiddin yang juga Presiden parti itu sebagai calon Perdana Menteri.
Bagaimanapun, keputusan itu dipertikai beberapa pemimpin Pas yang disifatkan melangkaui persetujuan Majlis Presiden PN, selain turut mengangkat beberapa nama daripada parti tersebut yang juga layak dinamakan sebagai calon Perdana Menteri. – MalaysiaGazette
















