KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim mempersoalkan tindakan kerajaan menutup sebahagian ibu kota Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada hujung bulan ini.
Katanya, tindakan itu akan menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada perniagaan memandangkan Kuala Lumpur merupakan pusat kegiatan komersial, selain menyebabkan puluhan ribu pelajar terpaksa belajar secara online ketika musim peperiksaan.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan mengapa Trump tidak dibawa menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Putrajaya, sekali gus mengelakkan kerugian kepada aktiviti perniagaan di pusat bandar raya.
“Mungkin Anwar bimbang Trump akan terpesona dengan Putrajaya, Cyberjaya dan KLIA, tetapi memandangkan Trump tidak mempunyai sentimen terhadap sejarah, beliau tentu tidak tahu bahawa semua itu dibina oleh Dr. Mahathir,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau, hari ini.
Sementara itu, Mohd Zaid turut tertanya-tanya apa yang mendorong Anwar yang bersungguh-sungguh menjemput Trump ke Kuala Lumpur sehingga menyusahkan semua orang.
Sedangkan, kata beliau, Sidang Kemuncak ASEAN pernah dianjurkan dengan sangat berjaya dan penuh gilang-gemilang di Putrajaya pada 1998.
Sementelah, jelasnya, Anwar juga pernah menentang langkah ‘lock down’ oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika pandemik Covid-19, namun kini mengambil keputusan sama yang disifatkan tidak perlu.
“Bukankah beliau mendakwa kepentingan rakyat perlu didahulukan?” katanya.
Tambah Mohd Zaid, Trump bukanlah seseorang yang akan terpesona dengan latar langit Kuala Lumpur, sekiranya itu adalah apa yang diharapkan Anwar menerusi jemputan kepada Presiden AS berkenaan.
Sebaliknya, kata beliau, Trump lebih berminat sekiranya Anwar menawarkan tanah untuknya membina sama ada Menara Trump atau padang golf di Kuala Lumpur.
“Buat perjanjian dengan Eric atau Don Junior (anak-anak Trump) kerana itu yang akan lebih menggembirakan Trump.
“Anwar sepatutnya belajar daripada Prabowo cara berurusan dengan Trump,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pusat bandar raya Kuala Lumpur akan ditutup sepenuhnya sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada minggu depan.
Menurut beliau, seramai 16,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari seluruh negara terlibat bagi membantu dan melancarkan aliran trafik.
PDRM juga akan berada dalam keadaan berjaga-jaga tahap tinggi dari 23 hingga 28 Oktober ini, susulan Sidang Kemuncak ASEAN berkenaan akan dihadiri ramai pemimpin utama dunia termasuk Trump. – MalaysiaGazette

















Trump: mengapa menyusahkan….
Dia tak baca pun