KUALA LUMPUR – Kejadian seorang murid perempuan cedera di kepala yang tular di media sosial sejak pagi tadi bukan berpunca daripada kejadian buli atau pergaduhan, sebaliknya akibat kemalangan ketika bermain sesama rakan di sekolah.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Berampah, Ag Ku Jainuddin Ag Wahab berkata, siasatan awal mendapati murid berkenaan cedera ketika bermain bersama rakan dan bukannya dipukul seperti yang didakwa.
Menurutnya, pihak sekolah mengambil tanggungjawab penuh terhadap insiden itu dan telah bertindak segera membawa murid terbabit ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Malah katanya, gambar yang tular itu diambil ketika mangsa di bawa ke hospital.
Ibu bapa pelajar terlibat juga telah dimaklumkan mengenai kejadian terbabit.
MalaysiaGazette hari ini melaporkan seorang murid perempuan cedera di kepala selepas dipercayai dipukul murid lelaki dalam kejadian di sebuah sekolah di Sipitang pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintenden Awang Anak Suanda ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Terdahulu kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 11 pagi dengan gambar mangsa menunjukkan pakaian mangsa berlumuran darah.- MalaysiaGazette
















