Ketiga-tiga tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen 2 Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Tiga rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan di sebuah kondominium di Persiaran Gurney pada awal bulan ini.

Tertuduh, K. Nagarajan, 52; S. Arunkumar, 24; dan R. Raman, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa merompak 21 barangan milik dua lelaki, M. Kasaevan, 49, dan K. Kumaran, 40, di unit kondominium terbabit pukul 5 petang pada 7 Oktober lalu.

Antara barangan yang disenaraikan dalam pertuduhan ialah sebuah kereta Jaguar berwarna biru; dua alat kawalan jauh kereta; dompet coklat; beberapa kotak termasuk berlogo M dan Alis Jewellers & Gems Sdn. Bhd; patung dewa pelbagai saiz; beg kitar semula Grab Mart serta barang kemas seperti gelang tangan, rantai leher, subang dan tali berwarna kuning.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala peguam Mohamed Firdaus M. Farouk mewakili Nagarajan dan Arunkumar dan Raman diwakili peguam, K. Mahendran.

Ketika prosiding, Mohamed Firdaus memaklumkan Nagarajan tidak bekerja dan menanggung isteri serta dua anak manakala Arunkumar juga seorang penganggur dan mempunyai tanggung kedua ibu bapanya.

“Semua barang yang disenaraikan dalam pertuduhan telah diserahkan kepada polis dan kedua-dua anak guam saya hadir menyerah diri secara sukarela. Jaminan bukan satu bentuk hukuman, sebaliknya hanya untuk memastikan kehadiran mereka ke mahkamah,” katanya.

Sementara itu, peguam Mahendran yang mewakili tertuduh ketiga memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai penarik kereta dengan pendapatan sekitar RM1,800 menanggung lima anak dan isterinya sedang sarat mengandung.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM7,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan supaya mereka tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 November depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast