Nik Nazmi Nik Ahmad.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berpandangan langkah mengumumkan pelan atau slogan baharu secara tergesa-gesa hanya memperlihatkan akar krisis kepada permasalahan dalam sistem pendidikan tidak difahami sepenuhnya.

Menurut bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, masalah sebenar bukan sekadar kekurangan dasar atau pekeliling tetapi budaya dan sistem yang gagal menyokong guru serta pelajar.

Dakwa beliau, apabila Ketua Pengarah Pendidikan sendiri mengaku ada kes `disapu bawah karpet’, ia bukan isu komunikasi tetapi tanda sistem pentadbiran gagal memberi ruang kepada warga sekolah bersuara tanpa takut.

“Seorang menteri mesti mendengar terus pandangan lapangan, meneliti laporan dengan jujur, dan memahami realiti guru-guru yang menanggung tekanan setiap hari.

“Menteri sepatutnya mempertahankan mereka yang berusaha memperbaiki keadaan, bukan melemahkan demi kelangsungan politik,” katanya menerusi laman sosial hari ini.

Tambah Nik Nazmi yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, sekolah dengan kadar disiplin tinggi tidak wajar dilabel sebagai `bermasalah’ sebaliknya perlu diberi sokongan tambahan iaitu sumber, tenaga dan bimbingan untuk memulihkan pelajar.

Malangnya, kata beliau, amaran seperti kadar keciciran meningkat dan ketidakhadiran peperiksaan sering diabaikan sehingga tragedi berlaku.

“Pendekatan lima perkara yang diumumkan kementerian hanya menyentuh simptom, bukan akar masalah,” katanya.

Tambah beliau, guru kini juga terbeban bukan kerana kurang dedikasi tetapi kerana sistem yang menuntut terlalu banyak laporan dan terlalu sedikit kepercayaan.

Katanya, apabila wujud krisis disiplin, kesihatan mental atau keselamatan, guru tersepit antara tanggungjawab melapor dan keinginan melindungi.

“Kita juga mesti mengakui bahawa sekolah ialah cerminan masyarakat. Pendidikan moral, agama dan sivik yang diajar belum cukup membina budaya saling menghormati dan empati,” katanya.

Sehubungan itu sudah tiba masanya ekosistem pendidikan dibina semula dengan berasaskan kepercayaan terhadap guru, keselamatan pelajar dan nilai kemanusiaan.

“Akhirnya, menteri mesti bertanggungjawab — bukan pegawai, bukan guru. Akauntabiliti tidak boleh dipindahkan kepada sesiapa,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast