KUALA LUMPUR – Seramai 8.8 juta penerima akan menerima bayaran Fasa 4 Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 bermula esok, 18 Oktober 2025, lebih awal daripada jadual asal pada pertengahan November 2025 sebelum perayaan Deepavali.
Penerima yang mempunyai akaun bank akan terus dikreditkan ke dalam akaun bermula 18 hingga 24 Oktober ini.
Manakala penerima yang tiada akaun bank (termasuk di Sabah, Sarawak dan Labuan), pembayaran secara tunai akan dibuat melalui cawangan Bank Simpanan Nasional mulai 21 Oktober ini.
Bagi penerima baharu dan rayuan sama ada mempunyai akaun bank atau tidak, mereka akan menerima bayaran pada 13 November ini.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tekad Kerajaan MADANI adalah untuk memastikan bantuan yang melibatkan agihan limpahan negara ini dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.
“Diharapkan penyaluran Fasa 4 STR 2025 ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kewangan menjelang sambutan Deepavali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan yang sama memaklumkan, kerajaan memperuntukkan RM2 bilion dengan kadar bayaran sehingga RM700 yang ditetapkan mengikut kategori.
Jumlah ini termasuk 200,000 pemohon baharu yang telah diluluskan bayaran Fasa 4 STR, yang mana penyaluran akan dibuat mulai 13 November 2025.
Katanya, berbanding Fasa 1 pada Januari 2025, jumlah penerima Fasa 4 meningkat sebanyak 500,000 individu dan isi rumah susulan keputusan Kerajaan MADANI untuk membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun.
Tambah kenyataan itu, kerajaan akan terus membuka pendaftaran STR dan SARA 2026 sepanjang tahun agar lebih ramai rakyat berpeluang mendapat manfaat daripada bantuan Kerajaan.
Seperti diumumkan Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober lalu peruntukan keseluruhan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mencecah RM15 bilion tahun depan.
Katanya, bagi penerima sedia ada, data mereka akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data Kerajaan bersama data daripada agensi-agensi berkaitan untuk semakan kelayakan STR dan SARA 2026 mengikut syarat yang ditetapkan.
Pendekatan itu turut mengurangkan risiko keciciran dan memastikan bantuan terus sampai kepada golongan sasar.
Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut. Semakan status pembayaran dan kelulusan STR boleh dibuat melalui pautan yang sama.
Kementerian Kewangan turut mengingatkan penerima STR agar sentiasa berwaspada terhadap pautan tidak sahih dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR.
Sebagai perlindungan daripada kes penipuan (scam), pihak MOF tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp. -MalaysiaGazette

















very good
Assalam o alaikum