PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam misi kemanusiaan ke Gaza agar memberi tumpuan kepada persiapan bantuan dari dalam negara dan tidak membebankan operasi dengan menghantar sukarelawan dalam jumlah ramai.
“Ramai yang daftar nak pergi, dah beribu orang. Tapi orang Gaza sendiri kata, jangan ramai sangat. Mereka ada tenaga, cuma tak ada kerja. Jadi, mereka nak buat kerja. Kita bantu dari sini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Seruling, Presint 5 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar menyarankan agar barangan seperti bekalan perubatan dan keperluan asas dibeli terus dari kawasan berhampiran Gaza bagi menjimatkan kos dan melancarkan proses penghantaran.
“Kalau perlu, kita boleh buat ruling semula,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha berterusan sedang digerakkan bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disampaikan dengan cekap dan berkesan sejajar dengan keperluan sebenar di lapangan.
Jelas beliau, usaha bantuan kemanusiaan ke Gaza kini giat diselaraskan dengan beberapa NGO tempatan dan kerajaan Mesir dalam usaha menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas.
Anwar turut memaklumkan, beliau dijadual menerima panggilan telefon daripada Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi esok sekitar pukul 2 petang bagi menyelaras penghantaran bantuan serta membuka laluan Rafah mengikut peraturan ditetapkan.
“Saya sudah jumpa wakil-wakil NGO Ehsan, MERCY, Flotilla dan lain-lain. Mereka sebenarnya perlukan perubatan, makanan dan kemudahan asas. Mereka tidak perlukan kehadiran kita yang ramai di sana,” katanya. – MalaysiaGazette
















