Mohideen (tengah) menasihatkan penganut Hindu agar tidak mengunakan peralatan plastik bagi perayaan Deepavali.

GEORGE TOWN – Penganut Hindu digesa menjadikan Deepavali tahun ini sebagai perayaan tanpa penggunaan plastik demi melindungi alam sekitar dan kesihatan awam, kata Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader.

Beliau menegaskan, pencemaran plastik kini menjadi ancaman besar dan bertentangan dengan makna Deepavali yang meraikan kemenangan kebaikan ke atas kejahatan serta cahaya mengatasi kegelapan.

Menurut Mohideen, gaya hidup moden menyumbang kepada peningkatan sisa terutama hasil penggunaan produk sekali guna seperti botol minuman, pinggan, sudu, garpu, cawan dan pembungkusan makanan plastik.

“Deepavali sepatutnya disambut dengan kasih sayang dan mesra alam bukan sahaja melindungi alam sekitar tetapi menghormati tradisi serta memberi contoh kepada generasi akan datang.

“Ada penjual manisan mendakwa pelanggan meminta plastik sekali guna untuk setiap item yang dibeli dan amalan itu perlu dihentikan kerana plastik menjejaskan hidupan liar, kesihatan manusia dan menyumbang kepada perubahan iklim,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohideen turut menasihatkan penganut Hindu supaya menolak penggunaan peralatan, hiasan dan pembungkusan plastik dengan menggantikannya menggunakan jut, kain dan bekas keluli tahan karat.

“Bawa beg dan bekas isi semula sendiri ketika membeli-belah. Jangan guna hiasan plastik atau daun mangga tiruan sebaliknya gunakan daun hijau asli.

”Jangan hidang makanan menggunakan bekas atau peralatan plastik sebaliknya guna daun pisang atau peralatan boleh guna semula walaupun harganya sedikit lebih tinggi kerana lebih baik untuk alam sekitar dan kesihatan.

“Deepavali ini jadilah lebih inovatif, hidupkan semula tradisi bebas plastik, amalkan amalan lestari dan bergerak ke arah dunia bebas plastik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast