Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM1.64 juta diperuntuk kepada 602 orang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia) STAM tahun 2024 yang menerima insentif tunai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) serta cenderahati jam pintar.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, MAIWP juga turut menyampaikan insentif Galakan hafaz Al-Quran yang berjumlah RM1.69 juta kepada 620 peserta dalam kategori hafazan.

Menurut beliau, insentif yang diberikan ini merupakan satu usaha untuk mendorong lebih ramai golongan muda untuk mendekatkan diri mereka dengan al-Quran.

Selain itu, sejumlah 870 mahasiswa golongan asnaf turut menerima komputer riba yang keseluruhannya bernilai RM2.85 juta untuk membantu keperluan pembelajaran mereka di peringkat pendidikan tinggi.

“Bantuan ini bertujuan membantu dan menyantuni golongan mahasiswa asnaf yang kurang berkemampuan untuk menyediakan peralatan pembelajaran yang sempurna,” ujarnya pada kenyataan sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Dan Inspirasi Pendidikan Madani MAIWP 2025 di sini hari ini.

Mohd Nai’m berkata, sehingga September 2025, MAIWP telah menyalurkan lebih RM58.6 juta bagi skim bantuan pendidikan kepada pelajar sekolah rendah hingga institusi pendidikan tinggi.

“Sehingga September 2025, MAIWP telah menyalurkan labih RM58.6 juta bagi skim bantuan pendidikan yang meliputi pelajar sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi.

“Ini termasuk bantuan pelajar ke Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Kolej Profesional Baitulmal, bantuan biasiswa, hafazan, serta peralatan sekolah,” tambahnya.

Peruntukan itu merupakan satu simbol penghargaan tehadap pelajar cemerlang, para huffaz serta para mahasiswa asnaf.

“Majlis yang berlangsung di Dewan Utama Masjid Wilayah Persekutuan ini menjadi simbol penghargaan kepada pelajar cemerlang, para huffaz serta mahasiswa asnaf yang gigih berusaha mengubah masa depan melalui pendidikan”, katanya.

Mohd Na’im turut berkata, sehingga kini MAIWP telah menawarkan bantuan zakat melalui 38 skim bantuan yang dalam aspek pendidikan, keusahawanan, perubatan dan pembangunan ummah.

Ini merupakan satu usaha daripada MAIWP dalam mengagih dan memanfaatkan wang zakat yang diterima daripada pembayar zakat di Wilayah Persekutuan.

Beliau turut menyeru supaya para pelajar terus berusaha dengan gigih dalam mencapai kejayaan dengan memiliki sahsiah yang terpuji untuk generasi yang berakhlak, berbakti kepada agama dan bukan sahaja cemerlang dalam akademik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast