BUKIT MERTAJAM – Empat lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana mencuri beg galas berisi wang tunai RM100,000 milik seorang lelaki tempatan, pada bulan lalu.
Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit menjatuhkan hukuman itu terhadap Firmansyah, 35; Temy Primadani, 37; Mujahidin, 41 dan Herman, 60, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara bersama terhadap mereka.
Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan bermula dari tarikh tangkapan kesemua suspek iaitu pada 4 September lalu.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mencuri satu beg galas mengandungi wang tunai RM100,000 milik Um Chee Eng, 52, di tapak parkir awam berhampiran Medan Selera Pusat Perniagaan Gemilang di sini, jam 12.59 tengah hari, pada 4 September lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, di mahkamah sama, Temy Primadani turut didakwa atas pertuduhan melakukan khianat dengan memecahkan cermin tingkap sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton milik mangsa sama.
Kesalahan itu dilakukan di lokasi dan masa sama manakala pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan penjara 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Pendakwaan kedua-dua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syakila Dahari dan kesemua tertuduh diwakili peguam, Mohd Izad Buqhary. – MalaysiaGazette
















