JOHOR BAHRU – Siasatan menyeluruh perlu dijalankan bagi memastikan madrasah dan institusi pendidikan agama di Johor berdaftar secara sah dengan pihak berkuasa agama negeri.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, langkah itu wajar seperti tindakan yang diambil pihak berkuasa Kelantan baru-baru ini.
“Langkah ini penting bagi memastikan semua institusi pendidikan agama di Johor mematuhi garis panduan dan piawaian yang ditetapkan demi menjamin keselamatan pelajar, kualiti pendidikan serta reputasi institusi Islam.
“Pendidikan agama perlu diberi perhatian serius, namun pada masa yang sama perlu diselia secara bertanggungjawab agar tidak berlaku sebarang salah urus, penyalahgunaan dana atau pelanggaran undang-undang yang boleh menjejaskan imej Islam dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Semalam polis Kelantan mengesahkan terdapat maklumat awal madrasah-madrasah tidak berdaftar di negeri itu digunakan sebagai tempat penggubahan wang haram.
Ketua Polis Kelatan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, hasil risikan pihaknya mendapati separuh daripada madrasah di negeri itu tidak berdaftar dengan Majlis Agma Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).- MalaysigGazette
















