KUALA LUMPUR – Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar turut bersetuju dengan gesaan supaya syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) tidak menghidangkan alkohol dalam penerbangan mereka.
Atau kata beliau yang juga peguam kanan, sekurang-kurangnya juga tiada kru kabin Muslim yang terpaksa menghidangkan arak kerana ia bertentangan dengan hukum Islam.
“Saya bukan ahli Pas tapi saya menyokong cadangan Ahli Parlimen Pas agar Malaysia Airlines tidak menghidangkan arak atau sekurang kurangnya tiada kru kabin Muslim yang terpaksa menghidangkan arak (kerana) bertentangan dengan hukum Islam.
“Ini bukan isu parti ia isu agama. Saya juga telah lama menyarankan mereka diberi pilihan berpakaian menutup aurat,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng secara sinikal mencadangkan Pas menubuhkan syarikan penerbangan sendiri iaitu ‘Pas Airlines’ susulan gesaan supaya MAS tidak menghidangkan alkohol dalam penerbangan mereka.
Kenyataan Lip Eng itu bagi menjawab gesaan beberapa Ahli Parlimen Pas termasuk Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun yang sebelum ini menggesa MAS menghentikan hidangan alkohol dengan alasan ia menimbulkan dilema kepada kru penerbangan Muslim yang terpaksa menghidangkannya. – MalaysiaGazette
















