KUALA LUMPUR – Raptai persiapan dan dry run bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bermula pagi tadi berjalan lancar serta mencapai objektif utama persiapan keselamatan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, latihan yang dijalankan itu menunjukkan tahap koordinasi tinggi antara semua agensi keselamatan dan penguat kuasa yang terlibat.
“Latihan persiapan berjalan dengan teratur dan lancar, malah menunjukkan hasil yang amat memuaskan. Ia akan diteruskan sehingga 25 Oktober bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan keselamatan berada di tahap terbaik menjelang sidang kemuncak,” katanya selepas meninjau pelaksanaan raptai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Menurut Mohd Khalid, raptai itu turut memperlihatkan keselarasan mantap antara elemen keselamatan, kawalan trafik dan pengurusan lapangan di semua lokasi strategik.
“Pelaksanaan ini membuktikan kerjasama erat dan profesionalisme pasukan keselamatan negara dalam memastikan kelancaran acara berprestij antarabangsa ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 10,170 pegawai dan anggota keselamatan digerakkan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran penganjuran sidang kemuncak berkenaan.
“Kekuatan ini terdiri daripada pelbagai jabatan dan unit teknikal termasuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Cawangan Khas, Unit Tindakan Khas, 69 Komando, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Am serta Pasukan Gerakan Udara,” katanya.
Tambah Mohd Khalid, penugasan menyeluruh turut melibatkan kawasan strategik seperti KLCC, Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan hotel penginapan rasmi para delegasi antarabangsa.
Selain kawalan fizikal, PDRM turut menugaskan pasukan khas bagi pemantauan keselamatan siber, kawalan udara serta rondaan berterusan di kawasan berisiko tinggi.
“Sepanjang tempoh 17 hingga 28 Oktober ini, beberapa laluan utama di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan laluan ke KLIA akan ditutup atau dilencongkan secara berperingkat bagi memberi laluan kepada pergerakan delegasi,” ujarnya.
Antara jalan yang terlibat ialah Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tun Razak, Jalan P. Ramlee, Jalan Pinang, Persiaran KLCC serta beberapa lebuh raya utama seperti MEX, NKVE dan Guthrie.
“Kami menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal, menggunakan pengangkutan awam dan mengelak kawasan pusat bandar tanpa urusan penting,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan dan penguat kuasa yang terlibat termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
“Pendekatan bersepadu ini mencerminkan semangat kerjasama strategik antara agensi demi kejayaan negara,” ujar Mohd Khalid. – MalaysiaGazette
















