KUALA LUMPUR – Tindakan MIC keluar daripada Barisan Nasional (BN) disifatkan keputusan tepat supaya parti berasaskan masyarakat India itu kembali kuat dan menyerlah seperti sebelum ini.
Bahkan, kata pemerhati politik, Shahbudin Husin, MCA juga sepatutnya melakukan tindakan yang sama untuk memperolehi prestasi yang lebih baik berbanding sekarang.
Jelasnya, demi kelangsungan parti, MIC tidak lagi boleh bergantung kepada UMNO untuk beroleh kemenangan kerana UMNO bukan lagi parti yang kuat untuk orang Melayu.
Sebaliknya tempat UMNO ketika ini sudah diambil alih oleh Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah meraih kira-kira 70 peratus sokongan pengundi Melayu.

“Hanya dengan disokong oleh Pas dan Bersatu sahajalah MIC mampu menang kembali banyak kerusi sebagaimana pernah dicapai ketika disokong oleh UMNO yang kuat dahulu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.
Menyentuh mengenai tindakan sesetengah pihak yang seolah-olah memperlekeh dan merendah-rendahkan MIC susulan kemungkinan akan meninggalkan BN, Shahbudin berkata, UMNO ketika ini juga bukan parti yang kuat seperti sebelum ini.
Jelasnya, UMNO kini sudah jauh berbeza daripada UMNO yang dahulu dan antara sebab hilangnya kuasa BN adalah kerana UMNO sebagai parti tunjang gabungan itu sudah hilang kekuatannya.
Tambah beliau, UMNO bukan sahaja tidak mampu lagi mengetuai kerajaan bahkan daripada segi jumlah kerusi Parlimen, ia tertinggal di tempat ketiga di belakang dua parti Melayu lain iaitu Pas dan Bersatu.
“Kalau dinilai kedudukannya berbanding semua parti pula, UMNO sebenarnya jauh lebih terperosok iaitu berada di kedudukan kelima di belakang Pas, DAP, Bersatu dan PKR.
“Untuk itu, sebelum mahu berhidung tinggi memperlekeh dan merendah-rendahkan MIC, lihat dulu keadaan UMNO,” katanya.
Selain itu, ujar beliau, tiada mana-mana kawasan Parlimen di negara ini yang didominasi oleh pengundi India sebagaimana ada kawasan lain yang pengundinya adalah majoriti Melayu dan Cina.
Disebabkan itu, katanya, apabila MIC bertanding, sudah tentulah ia bergantung kepada kekuatan parti lain khususnya UMNO untuk beroleh kemenangan.
“Apabila UMNO memberi sokongan kepada calon MIC yang hanya bertanding sejumlah kecil kerusi, sebagai balasannya, MIC pula akan menggerakkan pengundi India di semua kawasan yang UMNO bertanding agar memberi sokongan kepada BN.
“Sebab itu, ketika UMNO kuat dan beroleh banyak kemenangan, MIC juga mampu mendapat banyak kemenangan.
“Itulah namanya persefahaman dan ia menepati konsep kerjasama kaum yang wujud di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















