Mohd Nor Hamzah

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng sebagai biadab dan menghina Islam apabila beliau menyindir cadangan Pas supaya syraikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) menghentikan hidangan arak dalam penerbangan.

Ketua penerangannya, Datuk Mohd Nor Hamzah berkata, kenyataan Lip Eng “kalau nak larang arak, buat sahaja Pas Airlines” bukan sahaja menghina Pas sebagai parti politik tetapi sebaliknya turut dianggap satu penghinaan terhadap Islam sebagai agama Persekutuan.

“MAS dimiliki oleh Khazanah Nasional dan mewakili imej rasmi negara. Oleh itu, penyajian arak di bawah jenama milik kerajaan adalah bercanggah dengan prinsip Islam serta tidak menghormati sensitiviti majoriti rakyat Muslim,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, larangan arak bukan satu bentuk paksaan terhadap bukan Islam sebaliknya merupakan dasar moral sejagat yang turut diiktiraf oleh semua agama besar dunia.

DUPP katanya, menuntut agar kerajaan memberi kebenaran kepada kru penerbangan Muslim untuk menutup aurat dengan sempurna sebagai hak beragama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Jika kerajaan benar-benar mendukung gagasan Malaysia Madani maka prinsip Islam sebagai agama Persekutuan mesti diterjemahkan dalam dasar dan pelaksanaan bukan sekadar slogan,” katanya lagi.

Sehubungan itu tegas beliau, pihaknya menyeru Khazanah Nasional dan Kementerian Pengangkutan segera menghentikan hidangan arak dalam penerbangan MAS.

Kerajaan juga mesti membenarkan kru penerbangan Muslim menutup aurat dengan sempurna serta semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menilai semula operasi agar selaras dengan prinsip Islam sebagai agama Persekutuan.

Mohd Nor turut mengingatkan sabda Rasulullah SAW yang menyebut ‘arak itu adalah ibu segala kejahatan’ sambil menegaskan menolak arak bererti mempertahankan akhlak, maruah dan peradaban bangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast