GEORGE TOWN – Seramai 469 mangsa banjir daripada 156 keluarga kini ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di tiga daerah di Pulau Pinang setakat jam 1 tengah hari tadi.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Seberang Perai Utara (SPU) merekodkan jumlah pemindahan tertinggi apabila 404 mangsa daripada 116 keluarga dipindahkan ke tiga PPS yang diaktifkan sejak semalam.
Di Seberang Perai Tengah (SPT) pula, tiga PPS turut dibuka bagi menempatkan 43 mangsa daripada 32 keluarga, manakala satu PPS di daerah Barat Daya menempatkan 22 mangsa daripada lapan keluarga yang terkesan akibat hujan berterusan sejak awal minggu ini.
Keseluruhan mangsa yang ditempatkan terdiri daripada 161 lelaki dewasa, 141 wanita dewasa, 83 kanak-kanak lelaki, 77 kanak-kanak perempuan, seorang bayi lelaki dan enam bayi perempuan.
Setakat jam 2 petang ini, keadaan cuaca di beberapa kawasan di negeri ini hujan renyai, dengan pemantauan berterusan dijalankan oleh pihak berkuasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan gelombang kedua banjir. – MalaysiaGazette
















