Samad.

KEPALA BATAS – Keluarga kepada pendaki Gunung Liang, Allahyarham Mustaqqeem Mansor, 34, yang meninggal dunia akibat hipotermia minggu lalu, memilih untuk menunggu hasil siasatan polis selesai sepenuhnya sebelum mempertimbangkan sebarang tindakan undang-undang.

Bapa saudara arwah, Samad Saad, 48, berkata, mereka sekeluarga enggan membuat sebarang kenyataan atau ulasan lanjut berhubung kejadian itu kerana tidak mahu mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan.

Katanya, keluarga juga menyedari wujud pelbagai spekulasi di media sosial berkaitan kematian Mustaqqeem, namun memilih untuk berdiam diri demi menghormati siasatan pihak berkuasa.

“Walaupun kami reda dengan apa yang berlaku, keluarga tetap mahu pembelaan sewajarnya terhadap arwah.

“Kakak saya (ibu arwah) masih menangis setiap hari apabila terkenangkan anaknya yang meninggal dunia sendirian atas puncak gunung berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Haji Abdullah Fahim, di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan Faedah Caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial oleh Pengarah Perkeso Pulau Pinang, Rafidah Abdul Rahim, kepada balu arwah, Nur Faratin Mohd Othman, 31.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Samad turut memaklumkan keluarga ada menerima tawaran bantuan guaman secara pro bono daripada rakan-rakan arwah yang aktif menuntut pembelaan melalui kempen #justiceformustaqqeem di media sosial.

Media sebelum ini melaporkan, Mustaqqeem ditemui meninggal dunia akibat hipotermia selepas dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi Trans Slim dari Bukit Fraser ke Gunung Liang bersama 10 rakan pendaki.

Mayatnya ditemui di puncak gunung berketinggian 1,933 meter kira-kira jam 3.30 petang pada 17 Oktober lalu, sebelum dibawa keluar menggunakan helikopter Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) dan hasil bedah siasat di Hospital Slim River mengesahkan punca kematian akibat kesejukan melampau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast