Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Ibrahim.

SUBANG JAYA – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjangkakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tidak akan menarik balik hukuman yang dikenakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan susulan kontroversi kelayakan pemain baru-baru ini.

Baginda yang juga tonggak utama dalam usaha reformasi bola sepak negara berkata, walaupun hukuman itu mungkin diringankan, peluang untuk ia dibatalkan sepenuhnya adalah tipis.

“Saya tidak rasa FIFA akan ubah keputusan mereka. Paling tinggi pun hukuman itu mungkin diringankan. Mungkin mereka kenakan denda, potong mata Harimau Malaya atau gantung pemain yang terlibat,” titah baginda pada sidang media di sini, hari ini.

Baginda turut menegaskan bahawa pasukan undang-undang masih giat berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu tersebut.

“Tidak kira apa keputusan nanti, pasukan undang-undang kita akan terus bekerja menyelesaikan isu ini. Sebab itu FAM masih meneruskan tindakan pada peringkat ini,” titahnya.

Kontroversi pemain warisan itu mendapat perhatian antarabangsa selepas FIFA menjatuhkan hukuman terhadap FAM dan beberapa pemain yang dikatakan tidak memenuhi syarat kelayakan untuk mewakili skuad kebangsaan.

Sementara itu, baginda berkata, tindakan menggantung Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berhubung isu dokumentasi tujuh pemain warisan tidak sepatutnya berikutan ia seolah-olah meletakkan semua kesalahan terhadap individu terbabit.

Baginda menegaskan, tindakan menggantung Noor Azman berhubung isu dokumentasi tujuh pemain warisan tidak sepatutnya dilakukan.

Sebaliknya baginda berkata, semua pihak terbabit dalam projek pasukan kebangsaan perlu bertanggungjawab terhadap kemelut yang menggemparkan bola sepak negara itu baru-baru ini.

“Saya tidak bersetuju. Secara jujurnya, saya rasa penggantungan terhadap Setiausaha Agung FAM tidak patut. Saya tidak setuju dengan tindakan itu,” titah baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast