Muhammad Ariff maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Naib Ketua Pemuda Pas Johor, Muhammad Ariff Haron yang dalam perjalanan hadir satu program parti di Pagoh maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 48.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara di sini hari ini.

Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Johor, Mohd Ridhwan Salamun berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian menimpa Muhammad Ariff, 33, pada pukul 11.54 pagi.

“Almarhum maut selepas motosikal ditunggangnya kemalangan dengan sebuah kereta semasa dalam perjalanan ke program Permukiman Pemuda Pas Negeri Johor di Pagoh.

“Difahamkan, awal pagi tadi almarhum keluar menghantar tiga anak dan isterinya di rumah mertuanya, di Ulu Tiram di sini dengan menaiki kereta.

“Dari rumah mertuanya, almarhum naik motosikal seorang diri menuju ke Pagoh berkejar untuk mengikuti program tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Muhammad Ariff yang merupakan Pengetua di Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) Negeri Johor dikatakan tidak sempat mengelak sebuah kenderaan yang sedang berhenti di laluan kecemasan.

Akibatnya kata beliau, mangsa cedera parah dan terbaring atas jalan sebelum dibantu sekumpulan penunggang motosikal yang kebetulan melalui jalan tersebut.

Beliau berkata, almarhum merupakan seorang yang sangat komited dan gigih menjalankan tugas.

“Seorang yang tenang, lemah lembut dalam pertuturan, namun tegas dalam prinsip. Almarhum pernah menerima anugerah Tokoh Pendidik SMITI dalam Konvensyen Pendidik Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah sebelum ini.

“Sesungguhnya pemergian almarhum merupakan satu kehilangan besar buat keluarga, sahabat perjuangan serta seluruh warga besar Pas Johor,” ujarnya.

DPPNJ katanya, mendoakan beliau ditempatkan bersama-sama para syuhada, solehin, beriman serta diberi keampunan dan rahmat yang seluas-luasnya oleh Allah SWT.

Tambahnya, jenazah almarhum disolatkan di Masjid Mukminin Bandar Tiram di sini dan dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran hari ini.

“Almarhum meninggalkan seorang isteri dan tiga anak yang masih kecil dengan yang sulung berumur enam tahun,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast