JAINJ menangkap seorang duda dan janda berkhalwat di sebuah rumah kampung di Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menangkap seorang duda dan janda yang datang dari Perak ketika berkhalwat dalam sebuah kampung di daerah ini hari ini.

Menurut JAINJ dalam kenyataan, serbuan tersebut dibuat penguat kuasa pada pukul 1.30 pagi selepas mendapat maklumat pasangan berkenaan bersekedudukan.

“Selepas pintu diketuk, dibuka oleh seorang lelaki yang berseluar pendek dan tshirt. Keadaan rumah gelap dan penguat kuasa mengeluarkan lampu suluh, seterusnya membuat pemeriksaan lanjut.

“Rumah kampung dan keadaan dalam rumah agak berkecah. Pemeriksaan dibuat penguat kuasa wanita menemui seorang wanita berseluar pendek dan hanya memakai baju dalam di atas katil,” menurut kenyataan tersebut.

Jelas kenyataan itu lagi, siasatan mendapati lelaki tersebut berumur 20-an berstatus duda tiada anak manakala wanita berumur 30-an berstatus janda dan juga tiada anak.

Kediaman tersebut katanya, adalah rumah sewa lelaki berkenaan dan wanita itu datang dan tinggal di situ.

“Bila ditanya apa hubungan mereka, lelaki tak jawab tapi minta tolong jangan tangkap dia saja. Wanita pula jawab, lelaki itu bakal suami dia,” katanya.

Wanita itu jelasnya, mendakwa berkenalan menerusi media sosial dan datang dari Perak ke daerah ini untuk menguruskan perkahwinan mereka.

Namun apabila sampai di sini, suspek lelaki memberikan banyak alasan untuk berkahwin antaranya susah dapat surat cerai dan keadaan itu menyebabkan wanita tersebut ‘terkandas’ sebulan di situ.

“Sebenarnya, tiada masalah pun untuk lelaki dapatkan surat cerai, kalau dia sudah cerai. Cuma dia tak urus dan kata pula pejabat susah nak bagi. Hanya semasa bekas isteri dalam edah saja pejabat tak kasi surat cerai,” jelas kenyataan tersebut.

Pasangan itu ditangkap atas kesalahan khalwat Seksyen 27 dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast