Seorang anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) cedera selepas mengalami retak pada pergelangan tangan kiri serta luka di bibir ketika mengiringi delegasi antarabangsa sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Jalan Tun Razak berhampiran susur keluar ke WTC hari ini.- Foto : Tular

KUALA LUMPUR – Seorang anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) cedera dengan mengalami retak pergelangan tangan kiri serta luka di bibir dalam kemalangan ketika mengiringi delegasi antarabangsa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Jalan Tun Razak berhampiran susur keluar ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WCT) hari ini.

Mangsa berusia 25 tahun itu kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejadian berlaku kira-kira 11.45 pagi apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dipercayai mengubah lorong secara tiba-tiba dari lorong kiri ke kanan.

“Tindakan pemandu itu menyebabkan pelanggaran dengan motosikal Honda VFR 800P5 yang ditunggang anggota berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes kemalangan berkenaan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Mohd Yusri menasihatkan para pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati serta mematuhi arahan pasukan pengiring sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berlangsung.

Terdahulu, media melaporkan seorang lagi anggota JSPT turut cedera dalam kejadian berasingan di sini semalam.

Mangsa dilanggar sebuah pikap ketika mengiringi konvoi rasmi di Kilometer 22.3, susur keluar Hentian Rehat dan Rawat Dengkil arah utara Lebuhraya Elite pukul 1.10 tengah hari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast