Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung ketika hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN–Korea Selatan ke-26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto SADIQ SANI, 27 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung menggesa ASEAN dan Korea Selatan memperkukuh kerjasama keselamatan bagi mengekang peningkatan kegiatan jenayah rentas sempadan yang semakin berleluasa di rantau itu.

Menurutnya, kawasan sempadan kini menjadi tumpuan sindiket jenayah terancang termasuk pusat penipuan online yang sukar dikesan oleh pihak berkuasa.

Kata beliau, pusat jenayah seperti sindiket penipuan yang semakin berkembang di kawasan sempadan itu seolah-olah kebal daripada penguatkuasaan undang-undang.

“Apa yang membimbangkan, ramai anak muda terjerat dengan sindiket penipuan online ini dan menjadi mangsa jenayah rentas negara,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN–Korea Selatan ke-26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Sementara itu, Jae-myung turut menegaskan komitmen Seoul untuk terus memperkukuh kerjasama dalam bidang penguatkuasaan undang-undang bersama negara anggota ASEAN.

Menurutnya, Agensi Polis Kebangsaan Korea Selatan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa ASEAN (ASEANAPOL) bagi membanteras sindiket jenayah terancang, sekali gus memastikan jenayah rentas sempadan dapat dihapuskan di rantau ini.

Dalam masa sama, kata beliau, Korea Selatan turut berhasrat memperluas kerjasama dalam bidang keselamatan dan jenayah tradisional dengan setiap negara anggota ASEAN bagi menangani isu berkenaan secara menyeluruh.

Sementara itu, Jae-myung turut mengumumkan tiga visi utama dasar Korea Selatan terhadap ASEAN menjelang 2029.

Antaranya, kata beliau, adalah komitmen republik itu untuk menyumbang kepada pembentukan komuniti ASEAN melalui pelancaran Sidang Bersama Korea–ASEAN melibatkan sehingga 1.5 juta peserta.

Ujarnya, menerusi komitmen itu, Korea Selatan akan menjadi pemangkin bagi pertumbuhan dan inovasi ASEAN selain berperanan sebagai rakan kongsi keamanan dan kestabilan di rantau itu.

Dalam perkembangan lain, Jae-myung turut membentangkan tiga visi utama dasar ASEAN–Korea Selatan menjelang tahun 2029 bagi memastikan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) memberi manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua rantau.

Tiga visi tersebut merangkumi peranan Korea sebagai penyumbang kepada komuniti ASEAN yang berpusatkan rakyat, pemangkin inovasi ekonomi dengan sasaran perdagangan AS$300 bilion setahun serta rakan utama dalam menjamin keamanan dan kestabilan serantau.

Korea Selatan memulakan hubungan dialog sektoral dengan ASEAN pada November 1989 dan telah dianugerahkan status Rakan Dialog Penuh pada Mesyuarat Menteri ASEAN ke-24 pada Julai 1991 di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast