CYBERJAYA – Malaysia perlu beralih daripada hanya menjadi pengguna kepada pencipta dan peneraju dalam bidang inovasi serta penyelesaian bioperubatan bagi memastikan kelestarian dan keselamatan kesihatan negara.
Canselor Universiti Cyberjaya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sistem penjagaan kesihatan negara kini perlu diperkukuh agar bukan sahaja bersedia menghadapi krisis akan datang, tetapi mampu berdikari dalam pembangunan teknologi dan inovasi perubatan.
“Kita mesti menjadi pencipta inovasi dan pengimport kepada penyelesaian bioperubatan kita sendiri yang lebih murah, mampan dan relevan dengan keperluan tempatan serta serantau.
“Kita mesti buat dengan lebih baik, cepat dan selamat serta murah. Keperluan ini bukan hanya mengenai peningkatan ekonomi, ini juga mengenai keselamatan kesihatan negara dan kebebasan teknologi,” katanya ketika berucap pada Pameran Sains Bioperubatan & Kejuruteraan (BSEE 2025) di Universiti Cyberjaya hari ini.
Pameran dua hari ini dianjurkan bersama Advance Pact Sdn. Bhd. turut dihadiri pengerusinya, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman.
Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Kesihatan berkata, pandemik Covid-19 menjadi pengajaran besar kepada dunia tentang kepentingan memperkukuh daya tahan sistem kesihatan.
Malah, menurut beliau, negara juga perlu mengurangkan kebergantungan terhadap negara luar, terutama dalam pengeluaran peralatan perubatan dan vaksin.
“Kita harus belajar untuk memperkuat sistem penjagaan kesihatan kita agar lebih berkesan dan lebih bersedia untuk krisis dan cabaran yang akan datang.
“Pada masa yang sama, kita sedang melihat kemajuan yang berkembang dalam kecerdasan buatan, teknologi biologi, teknologi nanoteknologi dan teknologi bioperubatan.
“Perkembangan ini berubah dengan cara kita mengelak dan diagnos penyakit lebih cepat, lebih tepat dan lebih betul daripada sebelumnya,” katanya.
Tambahnya lagi, kemajuan dalam bidang-bidang ini membuka peluang besar untuk Malaysia membina keupayaan sendiri serta memacu inovasi tempatan.
“Bayangkan jika peralatan diagnostik dibangunkan di Malaysia mampu mengesan kanser atau diabetes bertahun-tahun sebelum simptom muncul. Ini adalah masa depan kesihatan yang kita perlu bentuk,” ujar beliau.
Dr. Noor Hisham turut menekankan keperluan kerjasama strategik antara kerajaan, akademia dan industri bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada produk serta penyelesaian yang berimpak tinggi di hospital dan klinik.
“Inovasi tidak berlaku dalam makmal sahaja. Ia berlaku apabila jurutera berbincang dengan doktor, penyelidik mendengar pesakit dan kita semua bekerjasama menuju satu matlamat,” katanya. – MalaysiaGazette
















