KUALA LUMPUR – Teka-teki hotel penginapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan delegasinya di negara ini masih menjadi tanda-tanya.
Ia kerana keberadaan pemimpin kuasa dunia di negara penuh dengan rahsia bagi menjaga tahap keselamatannya paling tinggi.
Namun difahamkan, Trump menginap di hotel mewah, The Ritz Carlton yang dikatakan antara dua hotel mewah yang memiliki bilik kalis peluru di cermin dan dindingnya selain St Regis.
Bagaimanapun Ritz Carlton yang terletak di Bukit Bintang menjadi tekaan paling tepat memandang terdapat ramai pasukan keselamatan yang mengawal ketat hotel tersebut sejak semalam.
Selain itu, terdapat gambar-gambar yang tular di media sosial apabila kereta rasmi Trump iaitu The Beast berada di kawasan parkir hotel tersebut.
Kali terakhir kereta tersebut berada di Malaysia sekitar 10 tahun lalu ketika bekas Presiden AS, Barack Obama mengadakan lawatan rasmi.
Menguatkan lagi tekaan, Kerajaan AS memilih Ritz Carlton untuk Trump kerana Obama pernah menginap di situ ketika lawatan pada April 2014.

Semalam Trump meninggalkan pekarangan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sekitar pukul 4.42 petang selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Trump, 79, yang mengenakan kot berwarna biru gelap dengan tali leher merah dilihat memasuki pekarangan pusat konvensyen bersama delegasi AS yang lain menerusi The Beast.
Sebelum itu, kelibat beliau gagal dikesan pengamal media di dalam KLCC yang menunggunya sejak tiba dari KLIA.
Beliau tidak melalui pintu utama yang disediakan mahu pun menggunakan laluan karpet merah setibanya beliau di KLCC.
Trump didakwa menggunakan ‘laluan rahsia’ dan berjaya tidak memunculkan diri di hadapan kamera wartawan melainkan tiba-tiba kelihatan bersiaran langsung atas faktor keselamatan.
Malah kesemua anggota bertugas tidak tahu-menahu tentang keberadaan Trump kecuali delegasi, pasukan pengamal media dan anggota keselamatan khas yang dibawa dari AS.
Ia merupakan kunjungan sulung Trump ke Malaysia dan rantau Asia Tenggara selepas memegang jawatan sebagai Presiden AS buat kali kedua pada Januari lalu.

Pesawat Boeing 747 VC-25A ‘Air Force One’ yang turut digelar ‘The Flying White House’ dinaiki Trump selamat mendarat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 9.54 pagi semalam.
Pemimpin dunia tersebut berada di negara ini selama dua hari bermula semalam atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025 selepas dipersetujui semua negara anggota.
Selain Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, lawatan rasmi Trump juga bersempena Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20.
Trump berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pukul 10.06 pagi tadi meneruskan perjalanan ke Jepun hari ini sempena jelajah lawatannya ke beberapa negara Asia. – MalaysiaGazette
















