BATU PAHAT – Seorang kanak-kanak tersedar daripada tidur dan mendapati dirinya cedera dikelar di leher dan bajunya berlumuran darah dalam kejadian di rumahnya di sebuah kampung di Parit Raja di sini hari ini.
Difahamkan semasa kejadian hanya ibu bapa, abang dan kakak mangsa berada dalam rumah tersebut dan insiden itu disedari ibunya yang berusia 40 tahun.
Mangsa yang juga anak bongsu daripada tiga adik-beradik dilaporkan bernasib baik kerana tiada sebarang saluran darah yang terputus dan kini dalam keadaan stabil serta dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima laporan kejadian budak lelaki cedera di leher itu yang dipercayai dikelar menggunakan senjata tajam pada pukul 9 pagi tadi.
“Semasa berada di rumahnya, wanita itu telah tersedar daripada tidur dan mendapati anak lelakinya yang berumur enam tahun mengalami kecederaan di bahagian leher,” katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan dilakukan bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera parah dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.
Jelasnya, siasatan masih di peringkat awal untuk menentusahkan motif kejadian.
Pihaknya menasihati orang ramai agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan komunikasi dan media sosial dengan membuat hantaran tanpa terlebih dahulu mendapatkan pengesahan dari pihak berkuasa.
Menurutnya, ia dikhuatiri akan menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan di samping boleh menjejaskan reputasi mana-mana pihak apabila berkemungkinan disalah tafsir orang ramai mengikut persepsi masing-masing.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak menularkan gambar-gambar mangsa kerana tindakan itu bertentangan dengan peruntukan undang-undang dan boleh disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2002.- MalaysiaGazette
















