Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), António Guterres pada sidang media khas sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres melahirkan penghargaan terhadap dasar luar Malaysia yang konsisten dan tegas dalam konflik di Palestin.

Menurutnya, Malaysia tidak mengamalkan dwi standard sebaliknya terus memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri dan menubuhkan sebuah negara merdeka.

Sementara itu, menyentuh mengenai pasukan pengaman PBB ke Gaza, beliau berkata, setakat ini, bentuk pasukan dan bagaimana ia akan diwujudkan masih belum dimuktamadkan.

“Apa yang penting sekarang ialah memastikan gencatan senjata dapat dikekalkan dan fasa pertama perjanjian gencatan senjata itu dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“PBB bersedia memainkan apa jua peranan yang akan ditentukan oleh pihak-pihak utama yang terlibat dalam proses itu,” katanya dalam sidang akhbar di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sini hari ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), António Guterres pada sidang media khas sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 OKTOBER 2025

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bersedia menghantar pasukan pengaman ke Gaza sekiranya diperlukan bagi menjamin keamanan selepas perjanjian pelan damai antara Hamas dan Israel ditandatangani di Mesir.

Menurut Anwar, penghantaran pasukan berkenaan akan dibincangkan oleh Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebelum diputuskan oleh Majlis Keselamatan PBB.

Sementara itu, Guterres mengakui Majlis Keselamatan PBB menghadapi masalah daripada segi legitimasi dan keberkesanan apabila keanggotaan majlis tersebut tidak lagi mencerminkan realiti dunia masa kini.

Menurut beliau, ketika ini, Majlis Keselamatan PBB mempunyai tiga anggota tetap dari Eropah iaitu Perancis, United Kingdom (UK) dan Rusia selain satu anggota dari Asia.

Bagaimanapun tiada negara dari Amerika Latin atau Afrika sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan PBB sekali gus tidak mewakili dunia hari ini.

“Oleh itu, adalah sangat penting untuk mempunyai wakil dari benua Afrika, sekurang-kurangnya dua anggota tetap dan juga penting untuk menambah bilangan wakil tetap dari Asia,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, Majlis Keselamatan PBB juga berdepan isu keberkesanan khususnya melibatkan kuasa veto.

“England dan Perancis telah mengemukakan cadangan untuk mengehadkan penggunaan kuasa veto dalam keadaan tertentu. Saya fikir amat menarik sekiranya anggota Majlis Keselamatan PBB mempertimbangkan cadangan tersebut dengan serius,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast