Anthony Albanese. foto news.com.au

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 28 Oktober 2025 atas jemputan Datuk Seri Anwar Ibrahim seusai menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan sidang-sidang berkaitan.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau sejak memegang jawatan perdana menteri pada 21 Mei 2022.

Semasa lawatan tersebut, beliau akan diiringi oleh pegawai-pegawai kanan Kerajaan Australia.

Hubungan dua hala Malaysia-Australia telah dinaiktaraf ke Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada tahun 2021.

Kerangka ini memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk meneroka bidang-bidang kerjasama baharu di bawah tiga tonggak utama CSP, iaitu kemakmuran ekonomi; masyarakat dan teknologi; serta pertahanan dan keselamatan serantau.

Semasa lawatan tersebut, Albanese dan perdana menteri akan mempengerusikan bersama Mesyuarat Tahunan Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Australia Ke-3 (ALM).

Kedua-dua Perdana Menteri dijangka membincangkan langkah memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan, kolaborasi dalam tenaga boleh baharu dan teknologi hijau, pendidikan dan jalinan antara rakyat, hubungan pertahanan dan keselamatan serta kerjasama dalam sektor halal dan sektor belia dan sukan.

Para pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk pemusatan ASEAN, situasi di Timur Tengah dan Indo-Pasifik, serta kerjasama maritim.

Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Jenayah Rentas Sempadan Negara dan dalam bidang Pendidikan, diikuti dengan majlis perasmian penubuhan kampus baharu Universiti Monash di Kuala Lumpur.

Australia kekal sebagai rakan dagang yang penting kepada Malaysia.

Pada tahun 2024, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Australia bernilai RM51.50 bilion, dengan eksport Malaysia berjumlah RM32.23 bilion dan import sebanyak RM19.27 bilion.

Bagi tempoh Januari hingga September 2025, jumlah perdagangan kedua-dua negara adalah sebanyak RM58.01 billion dan sehingga Jun 2025, jumlah terkumpul pelaburan Australia di Malaysia direkodkan sebanyak RM6.12 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast