KUALA LUMPUR – Malaysia melahirkan keyakinan ASEAN akan terus memainkan peranan dengan jelas dan terpimpin di bawah kepengerusian Filipina pada tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN juga akan dipandu dengan kehangatan dan keanggunan yang sinonim dengan rakyat Filipina.
Malah beliau turut memetik kata-kata nasionalis terulung Filipina, Jose Rizal yang berbunyi: “Hidup yang tidak didedikasikan kepada cita-cita besar adalah hidup yang sia-sia. Ia seperti batu yang terbuang di padang tanpa menjadi sebahagian daripada mana-mana binaan”.
“Pada petang ini, ia merupakan satu penghormatan kepada saya untuk menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina secara rasmi dan kepada sahabat saya Bombo (Presiden Ferdinand Marcos Jr.), selamat maju jaya,” kataya.
Beliau berucap pada majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan penyerahan secara rasmi kepengerusian ASEAN kepada Filipina di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata, ia merupakan satu penghormatan luar biasa kepada Malaysia untuk menakhodai ASEAN tahun ini.
Menurutnya, ia juga merupakan satu kepuasan untuk menyaksikan pelbagai perbincangan berlangsung antara negara-negara anggota dan rakan-rakan dialog sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
“Kita menghidupkan semula dialog, membina jambatan baharu dan membuktikan bahawa misi ASEAN sekiranya dipandu oleh kesabaran dan kematangan dapat terus memainkan peranan,” katanya.
Sementara itu, Anwar menghargai sikap tidak berputus asa, ketabahan, kesabaran dan kerjasama yang ditunjukkan oleh ketua-ketua negara ASEAN dalam memastikan misi bersama dapat dicapai.
Dalam masa sama, beliau turut menghargai seluruh rakyat Malaysia yang menyambut delegasi luar sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dengan mesra dan bertolak ansur dengan segala kesulitan yang terpaksa dihadapi sepanjang penganjuran acara itu.
“Di mata dunia, anda telah menunjukkan sisi terbaik Malaysia, terima kasih,” katanya. – MalaysiaGazette
















