BATU PAHAT – Ibu dan bapa kepada seorang budak lelaki berusia enam tahun yang parah selepas dikelar menggunakan senjata tajam di Kampung Parit Nipah, Parit Raja kelmarin, direman dua hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap pasangan yang masing-masing berusia 41 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Norasidah A Rahman di Mahkamah Majistret, di sini, pagi tadi.
Reman tersebut berkuat kuasa sehingga esok.
Menurut polis, tahanan dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
Semalam, pasangan suami isteri itu ditahan pada pukul 4 petang di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki parah selepas dikelar pada bahagian leher kanan dipercayai menggunakan pisau.
Kejadian disedari ibu mangsa kira-kira pukul 5.30 pagi kelmarin.
Mangsa yang dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail di sini kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan boleh bercakap selepas menjalani pembedahan pada lehernya. – MalaysiaGazette
















