Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli memaklumkan beliau meneliti perkataan demi perkataan dalam perjanjian tarif antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) sebelum membuat kenyataan.

Menurutnya, ia merupakan jalan yang adil sebelum dibandingkan pula dengan dengan perjanjian tarif AS dengan negara-negara ASEAN yang lain.

Dalam masa sama, beliau berpandangan cost benefit analysis (CBA) juga boleh dilakukan untuk menganggarkan kesan perjanjian tarif itu terhadap kewangan negara.

“Saya sedang melakukan perkara-perkara ini sebelum saya membuka mulut.

“Insya-Allah, saya akan kongsi beberapa perkara setakat penelitian saya dalam podcast YBM Jumaat, 31 Oktober ini,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di platform media sosial beliau hari ini.

Terdahulu, Rafizi yang juga bekas Timbalan Prsiden PKR berkata, beliau mengamati pelbagai reaksi mengenai perjanjian tarif itu termasuk yang disebut `perjanjian syaitan’ oleh pihak pembangkang.

Malah, ujarnya, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Abdul Karim juga menuntut jawapan selepas mendakwa kerajaan menerusi perjanjian tarif itu menyerahkan RM1 trilion kepada AS.

Jelasnya, perjanjian itu dirundingkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz bagi pihak kerajaan dan kebiasaannya akan dibawa ke Kabinet setelah semua rundingan dan draf sudah siap.

Tambah beliau, meskipun ada ruang untuk mengubah draf itu, ruang tersebut agak terhad besar kemungkinan kerana kesuntukan masa.

“Kalaupun ada anggota Kabinet yang tidak bersetuju, akhirnya keputusan Perdana Menteri itu akan memuktamadkan keputusan Kabinet, cuma pandangan yang berbeza akan direkodkan dalam minit mesyuarat Kabinet.

“Besar kemungkinan kita tidak akan tahu sampai bila-bila apa yang dibincangkan,” katanya.

Terdahulu, Hassan pada sidang Dewan Rakyat semalam berkata, komitmen yang dibuat Malaysia di bawah perjanjian perdagangan yang baru ditandatangani dengan AS yang mana negara ini seolah-olah perlu membeli barangan AS berjumlah lebih RM1 trilion.

Pada Ahad lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memeterai Perjanjian Perdagangan Timbal Balik AS-Malaysia yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast