Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa Malaysia berpendirian tegas supaya kedaulatan halal negara (halal sovereignty) dipertahankan dalam perjanjian timbal balik perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu kekal sebagai badan berautoriti tunggal sebagai penentu kepada segala produk makanan dan pertanian yang memasuki negara ini dari AS.

Menurutnya, Malaysia hanya bersetuju untuk memperkemas prosedur import makanan dan pertanian (streamline), bukan bermakna melonggarkan standard halal yang sedia ada.

“Amanah berpandangan bahawa isu halal perlu dilihat melalui lensa Siyasah Syar‘iyyah politik pentadbiran berasaskan hikmah dan maslahat.

“Dalam konteks ini, pemerintah wajib memastikan kemaslahatan ekonomi rakyat dapat dicapai tanpa menjejaskan prinsip syarak atau melonggarkan keperluan halal demi memenuhi perjanjian.

“Standard halal Malaysia perlu kekal unggul dan yang terbaik di dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Mujahid, kerajaan perlu memastikan setiap sijil halal asing yang ingin diiktiraf mesti melalui proses audit Jakim dan kekal di bawah senarai Foreign Halal Certification Bodies rasmi.

Selain itu, ujarnya, Malaysia juga harus mengekalkan dasar kawalan penuh terhadap label halal, sumber bahan mentah dan rantaian bekalan makanan yang masuk ke negara ini.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan akta keselamatan label halal secara khusus di bawah pengawasan Jakim digubal segera supaya standard halal tidak dimanipulasikan, khususnya jika barangan import dari AS mula membanjiri pasaran negara.

“Setakat ini keselamatan penggunaan label halal hanyalah dikuatkuasakan melalui akta perihal dagangan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast