BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki cedera selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum dia tercampak ke dalam parit sedalam lima meter di Jalan Alma Kampung Kijang di sini, hari ini.
Mangsa berusia 46 tahun itu mengalami kecederaan pada muka dan beberapa bahagian badan akibat terjatuh ke dalam parit sempit sebelum diselamatkan pasukan bomba.
Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam, Mohd Azmi Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) pada jam 12.16 tengah hari untuk membantu mengangkat mangsa.
“Setiba di lokasi, pasukan mendapati mangsa tidak mampu bangun kerana mengadu sakit pada bahagian pinggang.
“Anggota kemudian bertindak melakukan kerja menyelamat dengan berhati-hati berikutan dikhuatiri berlaku kecederaan bahagian pinggang.
“Keadaan parit yang sempit turut menyukarkan proses mengangkat mangsa dari dasar ke atas jalan, namun operasi berjaya dilakukan menggunakan peralatan penyelamatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, mangsa kemudian diserahkan kepada petugas perubatan untuk tindakan lanjut dan dihantar ke Hospital Bukit Mertajam bagi mendapatkan rawatan.
“Operasi membabitkan tujuh anggota dengan sebuah jentera LFRT dan EMRS serta turut dibantu anggota polis dan KKM itu tamat sepenuhnya jam 12.47 tengah hari,” katanya. – MalaysiaGazette
















